|
Sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Malaysia Pahang (UMP) disambut secara sederhana tetapi cukup bermakna apabila penganjuran kali ini dilaksanakan melalui kerjasama Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIPI), Sahabat Masjid (SAHAM) dan Perwakilan Kolej Kediaman (PEKA) menerusi program Kembara Maulidur Rasul pada 28 Februari lalu. Menurut Pengarah PIPI, Dr. Hassan Ahmad, bersempena sambutan Maulidur Rasul itu, pelbagai aktiviti telah dirancang antaranya pertandingan Musabaqah, Konsert Kembara, gerai jualan dan acara kemuncaknya perarakan kontinjen yang mewakili fakulti dan persatuan. Beliau menasihatkan warga universiti agar dapat mencontohi sifat dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam menjalani perjuangan hidup. Katanya, penghayatan maulidir rasul adalah lebih bermakna berbanding cara sambutan dilaksanakan. Acara perarakan melibatkan lapan kontingen mewakili fakulti dan kombinasi PEKA serta perwakilan pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berarak bermula dari Masjid UMP menuju ke Kompleks Sukan Universiti sambil berselawat beramai-ramai . Mendahului perarakan ialah Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim, Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Profesor Dr. Mohd. Ridzuan Nordin dan Pengarah PIPI, Dr. Hassan Ahmad. Antara fakulti yang menyertai perarakan ialah Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA), Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) dan Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) bersama Dekan dan wakil pengurusan fakulti masing-masing. Menurut seorang peserta perarakan, Siti Aisyah Shamshun Baharin, pelajar tahun 1, Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli berkata, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini akan lebih meriah sekiranya lebih ramai peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sepanjang Karnival Kembara ini berlangsung. Turut diumumkan pemenang bagi pertandingan sepanduk dan perarakan dimenangi oleh kontinjen FKEE. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd Yunus. Disediakan Oleh : Unit Perhubungan Awam & Media, Pejabat Naib Canselor        
|